Kembara Hati Seorang Hamba: January 2011

Monday, January 31, 2011

Buatmu Mujahidah solehah..

Views



Dengan kecantikanmu,
Kau lebih indah daripada mentari,
Sinar wajahmu,
Dipancari nur iman yang Hakiki,

Dengan akhlahmu,
Kau lebih wangi dari segala haruman,
Lebih indah dari segala perhiasan,
Perhiasan dunia,
Engkaulah yang terindah,

Dengan rendah hatimu,
Kau lebih tinggi dari rembulan,
Walaupun hatimu di dasar lautan,
Tetap disanjung,
Setinggi bintang berkelipan,
Indah nian menghiasi malam,

Dengan kelembutanmu,
Kau lebih halus dari rintik hujan,
Renyai membasahi bumi ciptaan Tuhan,
Dalam kelembutan itu,
Ada jua ketegasan muslimah sejati,
Engkaulah mawar berduri,

Maka,
Pertahankanlah keindahan ini,
Agar terusan menjadi sayap kiri perjuangan Islam,
Berjuang Lillahi Taala,
Martabat Ad-deen istiqamah dipelihara,
Penegak kalimah Allah di muka Bumi,

Engkaulah Mujahidah Sejati....

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Islam Mengangkat Darjat Wanita

Views


1.  Mengutamakan ibu kemudian bapa.
     Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling  berhak untuk aku hormati?" Baginda menjawab, "Ibumu!" Lelaki itu terus bertanya, "Kemudian siapa?" Nabi  s.a.w. menjawab, "Ibumu!" Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Nabi  s.a.w. menjawab, "Ibumu!" Sekali lagi dia bertanya, "Kemudian siapa?" Nabi s.a.w menjawab, "Bapamu!" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


2.   Anak perempuan menjadi penyelamat di akhirat.
      "Sesiapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya daripada api neraka." (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga bagi mereka mempunyai satu atau lebih anak perempuan. Wanita bukan hamba lelaki tetapi  setaraf dari segi nilai kemanusiaan bagaikan adik-beradik. "Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki." (Riwayat Abu Daud)


3.  Amal soleh wanita diiktiraf oleh ALLAH sebagaimana amal soleh lelaki diiktiraf.
    "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun." (Surah an-Nisa' 4:124)


4.  Hak wanita diiktiraf.
     Umar al-Khattab r.a berkata, "Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikit pun. Tetapi tatkala Islam datang dan ALLAH menyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami."
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Muslimah Yang tidak islamik..?

Views
     “Tolong pakai jubah ini. Tudung ni sekali. Tutup bahagian bawah dan dada,”
kata penjaga masjid kepada beberapa orang wanita melayu.
     Sambil ketawa dan bergurau senda, wanita-wanita tersebut mengenakan pakaian yang dimaksudkan oleh penjaga masjid. Jelas sekali mereka berasa lucu dan menganggap itu satu pengalaman yang kelakar.
     “Eh, kau nampak macam ustazah!”
     “Kau pula sudah macam perempuan Arab!”
     Begitulah suara riuh-rendah mereka bergelak ketawa sambil melangkah ke dalam masjid dengan lenggang-lenggok masing-masing. Pakaian menutup aurat dianggap lucu? Di belakang mereka kelihatan beberapa orang pelancong wanita yang saya kira dari Taiwan atau Korea masuk ke dalam masjid dengan jubah dan tudung yang serupa.
     Puaslah mereka “berposing” sana sini dengan gelagat masing-masing. Cahaya kamera berkelipan di sana sini.
     Masjid ini boleh dianggap destinasi perlancongan bagi orang bukan Islam tetapi bagi orang Islam, masjid tetap rumah ALLAH. Ada adab dan tuntutannya apabila kita mengunjungi rumah ALLAH ini.
     Dalam hati saya terdetik, pakaian menutup aurat bukan untuk melawat masjid sahaja tetapi pakaian wanita Islam sepanjang masa. Ia adalah hukum ALLAH yang mempunyai nilai mutlak yang tidak berubah walau di mana sahaja.
     Wanita Muslimah itu jelas belum islamik dari segi pakaian dan kelakuannya. Dan masjid seharusnya menjadi wadah untuk menyampaikan nilai-nilai dakwah dalam menangani masalah tidak faham ajaran Islam dalam kalangan orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Bila Hati Telah Berkarat…

Views
Dosa yang dilakukan dan kelalaian dalam mengingati ALLAH akan menyebabkan hati menjadi berkarat. Hati yang rosak ini akan menyebabkan diri manusia itu semakin jauh dari ALLAH dan semakin tersesat dari jalan yang benar.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dirosakkan oleh air.”  Seorang sahabat telah bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?” Maka jawab  Rasulullah s.a.w, “Banyakkan mengingati mati dan membaca al-Quran.”
(Riwayat Baihaqi dari Ibn Umar)

Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Seseorang yang tiada mempunyai sebarang ayat (Al-Quran) pun di dalam hatinya adalah seumpama sebuah rumah yang kosong.”
(Riwayat At Tirmizi)

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Empat Macam Manusia

Views
Khalil Bin Ahmad menyatakan, bahawa darjat manusia terbahagi kepada empat jenis iaitu:


Manusia yang tahu (mengerti) dan dia tahu bahawa dia tahu. Yang demikian ialah manusia yang berilmu, yang boleh dijadikan pemimpin.


Manusia yang tahu, tapi dia tidak tahu bahawa dia tahu. Orang yang demikian sedang tertidur, dan perlu dibangunkan.


Manusia yang tidak tahu, dan dia tahu bahawa dia tidak tahu. Orang yang demikan perlu dibimbing supaya menjadi cerdas.


Manusia yang tidak tahu, dan tidak tahu bahawa dia tidak tahu. Orang yang demikian haruslah dijauhi.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Akibat Berajakan Nafsu..

Views

Suatu ketika di Mesir terdapat seorang lelaki yang tinggal di masjid. Tugasnya mengumandangkan azan apabila masuk waktu solat. Dia sangat taat kepada ALLAH s.w.t dan selalu beribadah. Setiap kali masuk solat dia ke menara untuk mengumandangkan azan.
     Di bawah menara tersebut terdapat sebuah rumah milik keluarga yang beragama kristian. Suatu hari, dengan tidak sengaja tersebut menoleh lalu terlihat olehnya seorang gadis cantik di dalam rumah itu. Dia tertarik dengan gadis itu lantas turun, tanpa mengumandangkan azan seperti biasa, demi menemui gadis itu.
     Setelah berhadapan dengannya, gadis itu bertanya:  “Apakah yang engkau mahu sehingga dating ke rumahku?”
     Jawab lelaki itu: “Aku inginkan kamu.”
     “Kenapa kau suka kepadaku?”  Tanya  gadis itu.
     Lelaki itu menjawab,  “Kerana engkau telah merampas semua keinginanku dan aku telah jatuh hati kepadamu.”   
     Gadis itu berkata, “Aku tidak boleh bersama denganmu kerana perbezaan agama dan tidak mungkin akan berlaku.”
     “Tidak, aku tidak peduli. Aku ingin bernikah denganmu.” Balas lelaki itu.
     Gadis itu berkata lagi, “Tetapi aku seorang Kristian dank au beragama Islam. Sudah pasti ayahku tidak mengizinkanku untuk bernikah denganmu.”
     Lelaki itu membalas, “Jika demikan, aku rela memeluk agamamu.”
     Gadis itu menjawab, “Baiklah, jika itu kemahuanmu aku bersedia untuk bernikah denganmu.”
     Akhirnya lelaki yang begitu warak itu menukar agamanya demi gadis tersebut. Dia kemudian tinggal bersama gadis pilihannya. Tetapi malang, umurnya tidak panjang. Ketika dia berjalan di lantai rumahnya, dia terjatuh lalu terus menemui ajalnya.
     Begitulah, matinya dengan sia-sia kerana belum sempat menikmati kehidupan bersama perempuan idamannya itu. Dia juga telah kehilangan agamanya kerana terpikat dengan kecantikan yang sesaat iaitu kenikmatan duniawi yang tidak abadi. 
 
(Kisah iktibar daripada Sufyan al-Thawri)
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Tuesday, January 25, 2011

Nafsu Musuh yang Dicintai..

Views
Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sangat kita sukai. Apabila sesuatu itu sangat kita cintai, kita akan menjadi buta lalu kejahatan dilihat baik. Malah, kita akan menjadi hamba kepada apa yang kita cintai.


Umat Islam sering memberi tumpuan kepada musuh zahirnya. Yahudi dan Nasrani misalnya, itulah dua musuh yang begitu dititikberatkan oleh umat Islam masa kini. Ya, memang kedua-dua musuh Islam ini sangat menyusahkan kita. Namun, ada musuh lain yang lebih dahsyat dan hebat angkaranya.
      Musuh tersebut adalah hawa nafsu. Apabila umat Islam boleh ditewaskan oleh hawa nafsu, mereka akan mudah melutut kepada musuh-musuh zahirnya. Atau dalam kata lain, apabila kita gagal menentang hawa nafsu, maka kita mudah dikalahkan oleh Yahudi dan Nasrani.
      Sayangnya, agenda melawan nafsu ini jarang diuar-uarkan.  Agenda ini tenggelam di tengah-tengah tempik sorak, demonstrasi dan kemarahan kita kepada Yahudi dan Nasrani.
     Sebenarnya, ada dua factor yang menyebabkan hal ini berlaku. Pertama, kebanyakan umat Islam jahil kerana tidak mendapat suluhan ilmu. Kejahatan hawa nafsu langsung tidak diketahui apatah lagi untuk diperangi.
Kedua, bersikap eskapisme, yakni cuba lari daripada menghadapi kenyataan. Mereka sedar bahawa menentang hawa nafsu bererti menentang diri sendiri, maka tentunya ia sesuatu yang sangat memedihkan. Jadi lebih mudah menyalahkan orang lain daripada terpaksa “berperang” dengan diri sendiri. Contohnya, lebih mudah mengajak orang berdemonstrasi membakar bendera Israel dan Amerika berbanding mengejutkan mereka untuk membuang selimut pada waktu dingin pagi untuk solat Subuh! 

PERINGKAT-PERINGKAT NAFSU

     Ulama tasawuf membahagikan nafsu kepada beberapa peringkat. Ada yang membahagikan kepada tujuh bahagian, empat bahagian dan tiga bahagian. Namun di sini hnya dapat dijelaskan empat bahagian sahaja. Antara  peringkat-peringkat nafsu dan cirri-cirinya ialah :


1.   Nafsu Ammarah
        Ammarah ertinya sangat mengajak kepada kejahatan . ini adalah tahap nafsu yang jahat dan hina. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“… sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Surah Yusuf 12: 53)
Orang bernafsu ammarah ialah orang yang berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran. Dia berasa seronok dengan maksiat. Bahkan dia mengajak orang lain dengan mempromosi kemungkaran dan kemaksiatan, malah berusaha melahirkan “kader” yang boleh meneruskan kemungkaran itu.
         Jika ada program kebaikan, dia akan menentangnya. Jika ada orang yang menegur mereka, orang itu akan dimusuhi dan ditentang. Orang yang bertahap nafsu ammarah ini juga sering menjadi “batu api” yang melaga-lagakan agar umat Islam tidak bersatu, nauzubillah. Jika tidak bertaubat, mereka akan merasai neraka di dunia (tidak tenang dan bahagia di dunia) dan akan dicampakkan ke neraka kelak.

2.    Nafsu Lawwamah
         Lawwamah bererti nafsu yang mencela. Orang yang mempunyai nafsu ini menyedari dia sering terlibat dengan dosa . ia menyesali akan dosa-dosa itu dan mencela dirinya sendiri. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
“ Aku bersumpah dengan nafsu yang amat mencela kejahatan.” (Surah al-Qiyamah 75: 2)
Namun ketika berbuat dosa, ia terleka dan terbuai dengan kenikmatan dosa itu tanpa memikirkan akibatnya. Hanya setelah selesai melakukannya barulah timbul penyesalan. Sungguhpun begitu, keadaan itu tidak lama, ia akan kembali berdosa senula apabila ada godaan dan hasutan.
         Apabila melakukan ketaatan, orang yang mempunyai nafsu lawwamah ini mudah dihinggapi rasa riak (menunjuk-nunjuk) dan ujub (bangga  diri). Dirasakan dirinya sudah baik di sisi ALLAH. Dia “perasan” dengan kebaikannya.
         Tetapi berbeza dengan orang yang bernafsu ammarah, mereka tidak berasa bangga dengan dosa dan tidak pula mengajak orang lain melakukan dosa bersamanya. Pada masa yang sama, mereka sangat suka kepada majlis-majlis ilmu dan keagamaan. Hatinya mudah cair dengan tazkirah dan tawsiyah. Cuma sangat rapuh apabila digoda maksiat.
         Jadi, kedudukan orang yang bernafsu lawwamah ini masih tidak selamat di dunia mahupun akhirat.


 3.    Nafsu Mulhamah
          Orang yang mempunyai nafsu mulhamah sudah mula mendapat ilham kebaikan dalam hatinya. Ada bisikan kebaikan dalam dirinya untuk berusaha lebih gigih ke arah menjadi insane yang lebih baik. Firman ALLAH S.W.T :
“Diilhamkan kepada diri akan kejahatan dan juga ketaqwaan.” (Surah al-Shams 91: 5)
Orang yang berada di tahap ini sudah mampu meninggalkan tahap nafsu lawwamah. Dia mula menghisab dan menyuluh diri lalu berusaha melakukan kebaikan. Dia tidak lagi mencari ruang dan peluang untuk melakukan dosa cuma ada masanya dia terlanjur juga melakukannya kerana kelalaiannya. Dia tidak sengaja.
           Sebagai penyelesaiannya, dia bukan sahaja mencari jalan untuk memperbaiki dirinya, malah dia juga berusaha menutup peluang untuk terjebak dalam perbuatan maksiat. Kawan, suasana dan keadaan yang boleh membawa kepada dosa dihindarinya. Walaubaimanapun, nafsunya belum stabil.

4.     Nafsu Mutma’innah
          Inilah nafsu yang diperoleh oleh seseorang hasil mujahadah (melawan nafsu) dan riyadah al-nafs (latihan diri) secara istiqamah (konsisten). Hatinya sudah tenang kerana nafsunya telah berjaya dijinakkan. Dia bukan sahaja seronok melakukan ketaatan tetapi indah ketika meninggalkan kejahatan. Apa sahaja ujian ALLAH, sama ada nikmat atau musibah mampu dihadapinya dengan sabar dan redha.
         ALLAH redha terhadap mereka sepertimana mereka redha terhadap ALLAH. Inilah tahap nafsu orang yang bertaqwa. Mereka menikmati al-jannah al-ajilah (syurga dunia yang berupa ketenangan dan kebahagiaan hidup) dan di akhirat mereka diseru untuk kembali kepada ALLAH menjadi penghuni syurga yang kekal abadi. Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud:
“Wahai nafsu yang  tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan gembira dan menggembirakan.” (Surah al-Fajr 89: 27)
         Inilah peringkat nafsu yang dimilki oleh para salafussoleh yang menyebabkan mereka bukan sahaja berjaya mengalahkan musuh zahir (munafik, Yahudi dan Nasrani)
malah musuh batin (syaitan dan hawa nafsu) juga dapat ditewaskan.






Umpama Kuda Liar

Apa itu nafsu? Nafsu itu tempat berkumpulnya kekuatan amarah dan syahwat (keinginan) dalam diri manusia. Di sinilah terkumpulnya sifat-sifat tercela, dan sentiasa mendorong diri manusia itu kea rah kejahatan.
     Daripada nafsu itulah timbulnya sifat mazmumah seperti hasad dengki, pemarah, takbur, gila pujian, cintakan dunia, penakut dan lain-lain lagi. Itulah akibat buruk apabila nafsu dibiarkan dan tidak dididik. Nafsu adalah generator kejahatan dalam tubuh badan manusia.
     Imam al-Ghazali mengumpamakan nafsu sebagai kuda yang liar. Jika tidak dididik kuda itu akan mengamuk dan menjatuhkan orang yang menunggangnya. Sebaliknya jika Berjaya dijinakkan, kuda itu dengan mudah dapat ditunggang mengikut mana jua hala tujuan. 


Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Tip Meneguhkan Iman

Views
·         Bersyukur apabila mendapat nikmat
·         Sabar  apabila mendapat kesusahan
·         Bertawakal apabila mempunyai perencanaan
·         Ikhlas  dalam segala amal perbuatan
·         Jangan membiarkan hati  larut dalam kesedihan
·         Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
·         Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan Jangan hasad dan iri hati atas kejayaan orang lain
·         Jangan sombong sekiranya memperoleh kejayaan
·         Jangan tamak kepada harta
·         Jangan goyah dengan fitnah
·         Jauhkan diri daripada dosa-dosa yang besar
·         Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
·         Banyak berkunjung ke rumah  ALLAH  (Masjid)
·         Lakukan solat fardhu pada awal waktu dan berjemaah di masjid
·         Perbanyakkan zikir  dan doa kepada ALLAH
·         Jangan rasa takut kecuali hanya kepada ALLAH
·         Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan
·         Bersatu padulah kerana ALLAH dan berpisahlah hanya  kerana-Nya 

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Saturday, January 22, 2011

Arah Pandangan Mata Ketika Solat

Views

Ada dalil yang menggalakkan ketika solat kita disunatkan menunudukkan wajah melihat ke tempat sujud semasa berdiri. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Hakim: 
"Adalah Rasulullah s.a.w. menundukkan kepala Baginda dan melontarkan pandangan ke bumi(tempat sujud)."
    
Dalam hadis lain:
"Dan tatkala Nabi s.a.w. memasuki Kaabah, Nabi tidak mengangkat pandangan mata Baginda dari tempat sujud sehinggalah Baginda keluar darinya." (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Imam Sufyan al-Thawri, Abu Hanifah dan al-Syafi'i berpendapat bahawa elok menunpukan pandangan mata ke arah tempat sujud. Manakala ijtihad Imam Malik dan Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan elok memandang ke arah hadapan dan bukannya tempat sujud.

Namun, walaupun dalil- dalil yang dikemukakan ini sahih dari sudut kefahamannya iaitu keperluan melihat tempat sujud. Maksud "menundukkan kepala" dalam hadis ini tidak semestinya memandang tempat sujud dan hadis kedua pula tidak dijelaskan secara terang ia dilakukan ketika solat. Ia hanya menyebut ketika Nabi s.a.w memasuki Kaabah dan bukannya ketika solat.

Setelah diteliti hadis-hadis yang terdapat dalam bab ini, maka dapat difahami bahawa matlamat asas daripada tindakan melihat tempat sujud ini adalah untuk:
  • Mendatangkan khusyuk
  • Menghilangkan gangguan luar dan memfokuskan perhatian terhadap solat
  • Menimbulkan rasa rendah diri ketika solat
  • Membezakan keadaan antara orang yang sedang dalam solat dan yang luar solat
  • Menghilangkan rasa sombong

Hadis berikut menyokong kepada kesimpulan:
"Tidak sepatutnya terdapat dalam rumah orang yang menunaikan solat sesuatu yang boleh menggangu dan menyibukkan (pemikirannnya dan kekhusyukannya ketika solat)." (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Juga sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh ( ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan) kerana ALLAH S.W.T.  mengarahkan wajahNYA ke arah wajah hambaNYA yang sedang solat selagi mana hambaNYA tidak menoleh ke arah lain." (Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)


Kesimpulannya, digaakkan untuk menundukkan pandangan mata, sama ada ke tempat sujud atau lainnya semasa solat, namun tidaklah sampai pada tahap wajib.
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Friday, January 14, 2011

LaNGkaH MenCinTAi ALLAH

Views
Cinta sentiasa menjadi buruan manusia. Manusia sering memburu cinta yang berbeza. Ada yang memburu cinta wanita, suami, harta dan sebagainya. Namun cinta hakiki yang tidak pernah mengecewakan ialah cinta ALLAH. Cinta ALLAH lah yang layak dikejar.
  Amalkan petua-petua berikut baggi merasai manisnya mencintai ALLAH.. InsyaALLAH..

  • Amalkan seggala suruhan ALLAH dengan bersungguh-sungguh dan tanpa banyak soal dan alasan.
  • Jauhi larangan ALLAH dan jangan sekali-kali dekatinya apatah lagi melakukannya. Simpanlah rasa "tidak sedap hati" saat kali pertama melakukan sesuatu yang dimurkai ALLAH sebagai bekalan menjauhkan diri daripada maksiat.
  • Letakkan ALLAH sebagai prioriti dalam hidup dan dahulukan ALLAH dalam segala sesuatu, tidak kira ketika melakukan ibadah atau saat perlukan pertolongan.
  • Sentiasa berdoa dalam setiap perbuatan kerana itu akan mengingatkan kita kepada ALLAH setiap masa.
  • Redha atas segala ketentuan qada' dan qadar terutamanya jika ditimpa musibah.
  • Kerahkan semua anggota badan mentaati ALLAH, termasuk hati dan juga lidah.
  • Anggap dunia sebagai sebuah penjara. Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir." (Riwayat Muslim no. 7606) Apakah bekalan yang biasanya dibawa balik oleh seorang banduan? Apakah dia mampu membawa harta kekayaan atau sijil yang mengiktiraf tahap inteleknya? Banduan biasanya hanya mampu membawa keluar sama ada sikap lamanya atau sekeping hati yang bersih.
  • Renew. Sentiasalah perbaharui cinta kepada ALLAH. Dunia ini melelahkan kerana tempat beristirahat hanyalah akhirat. Lepas satu kebaikan dan ibadah dikerjakan, lakukanlah yang lain pula.
  • Aktif. Seorang hamba yang betul-betul mencintai ALLAH akan jadi ibarat peniaga yang tamak, pantang ada peluang melakukan ibadah akan terus dilaksanakan tanpa tawar-menawar.
  • Ikhlas. Pastikan cinta kepada ALLAH ikhlas hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNYA.
  • Pinta. Jangan menganggap bahawa dengan amal ibadah semata-mata telah menyampaikan diri kita kepada cintaNYA. Oleh sebab itu, pintalah daripada ALLAH cintaNYA, dan laksanakan amalan yang disukaiNYA.
  • Cintailah apa sahaja yang disukai ALLAH dan bencilah apa jua yang dibenciNYA..

semoga apa yang ana sampaikan dapat bersama-sama kita laksanakan.. Dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH.. Niat merupakan suatu benda yang sangat penting sebelum kita melakukan sesuatu perkara.. Wallahualam.. segala yang baik tu datang daripada ALLAH S.W.T. dan segala yang buruk tu datang atas kelemahan diri ana sendiri..
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Cinta Membawa Ke SYURGA....

Views
Seorang Arab Badwi bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. tidak menjawab, sebaliknya menyoalnya semula, "Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapinya?"
   Orang Badwi itu menjawab, "Aku tidak menyediakannya dengan banyak mendirikan solat dan berpuasa tetapi aku menyediakannya dengan hati yang amat mencintaimu."
   Mendengar jawapan orang Badwi itu, Rasulullah s.a.w. terus bersabda yang bermaksud: "Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat kelak."(Muttafaq 'alaih)
   Alangkah bertuahnya kita jika cinta kita benar, betul dan tepat.. Kita akan sentiasa bersama kebenaran dan akan bersama dengan cinta itu di syurga nanti. Sebaliknya, alangkah malangnya jika kita salah meletakkan cinta, kita akan bersamanya di neraka!
   Itulah peri agung dan pentingnya cinta. InsyaALLAH, orang Badwiyang mencintai Rasulullah s.a.w. itu akan bersama baginda di syurga. Ya, kita akan sentiasa bersama dengan orang yang kita cintai semasa di dunia dan di akhirat nanti. Itu kepastian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Sesungguhnya, mencintai Rasulullah ertinya mencintai ALLAH. FirmanNYA yang bermaksud: "Sesiapa yang mencintai ALLAH, maka ikutlah aku."(Surah Ali 'Imran 3:31)
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

RaMuAN PeRPaDuAN

Views
بسم الله الر حمن الر حيم                                                               

Walaupun perpaduan sering dilaung-laungkan, tetapi kekerapan kita menyebutnya masih belum berupaya untuk menterjemahkannya. Ini menjadikan kita tertanya-tanya, apakah masalah sebenarnya. Apakah ini disebabkan kita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan perpaduan atau kita sudah tahu tetapi "sengaja" tidak mahu bersatu?

Perpaduan melibatkan soal jiwa bukan harta. ALLAH SWT mengingatkan: "Jika kamu membelanjakan seluruh yang ada di permukaan bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi ALLAH-lah menjinakkan hati antara hati-hati mereka." (Surah al-Anfal 8:63)

Oleh sebab itu, jika ingin menyatukan manusia maka hati mereka perlu terlebih dahulu "dijinakkan". Kemampuan ini hanya ada pada ALLAH. Hati dijinakkan dengan dikenalkan kepada ALLAH dan dididik untuk mencintai-Nya. Ini ialah persoalan iman dan inilah soal asas dan teras dalam perpaduan.

Perpaduan menyusul selepas iman. Iman adalah prasyarat yang membawa kepada perpaduan. Tanpa iman atau lemah iman, perpaduan akan berantakan. Jika pun berlaku, perpaduan itu hanya bersifat tempelan. Perpaduan yang sedemikian dinyatakan ALLAH menerusi firman-Nya: "Kamu menyangka mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah-belah". (Surah al-Hasyr: 59:14)

Tegasnya, perpaduan mestilah bermula dari hati yang berasaskan iman sejati. Tanpa iman, tidak mustahil bangsa atau agama menjadi topeng bagi melindungi kepentingan peribadi. Dengan iman, manusia akan berasa takut kepada ALLAH, gerun akan neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Inilah yang akan menghalang manusia daripada melakukan kemungkaran dan kejahatan. Iman akan memberikan kekuatan untuk melawan hawa nafsu. Dengan ini sifat-sifat buruk (mazmumah) yang berpunca daripada kerakusan nafsu yang menjadi penghalang perpaduan dapat diatasi.
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

HATI....

Views
Hati mempunyai dua sikap..
Iaitu menerima dan menolak(futur)..
Manfaatkanlah kedua-dua situasi ini..
Apabila hati cenderung kepada menerima..
Maka perbanyakkanlah ibadah wajib dan sunat..
Apabila hati cenderung kepada menolak..
Maka lakukanlah amal-amal soleh..
Berinteraksilah dengan hati dengan lemah lembut..
Sehingga ia dapat menerima kembali.. 



Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Adie Shahrul