Kembara Hati Seorang Hamba: RaMuAN PeRPaDuAN

Friday, January 14, 2011

RaMuAN PeRPaDuAN

Views
بسم الله الر حمن الر حيم                                                               

Walaupun perpaduan sering dilaung-laungkan, tetapi kekerapan kita menyebutnya masih belum berupaya untuk menterjemahkannya. Ini menjadikan kita tertanya-tanya, apakah masalah sebenarnya. Apakah ini disebabkan kita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan perpaduan atau kita sudah tahu tetapi "sengaja" tidak mahu bersatu?

Perpaduan melibatkan soal jiwa bukan harta. ALLAH SWT mengingatkan: "Jika kamu membelanjakan seluruh yang ada di permukaan bumi ini, nescaya kamu tidak akan dapat menjinakkan hati manusia. Tetapi ALLAH-lah menjinakkan hati antara hati-hati mereka." (Surah al-Anfal 8:63)

Oleh sebab itu, jika ingin menyatukan manusia maka hati mereka perlu terlebih dahulu "dijinakkan". Kemampuan ini hanya ada pada ALLAH. Hati dijinakkan dengan dikenalkan kepada ALLAH dan dididik untuk mencintai-Nya. Ini ialah persoalan iman dan inilah soal asas dan teras dalam perpaduan.

Perpaduan menyusul selepas iman. Iman adalah prasyarat yang membawa kepada perpaduan. Tanpa iman atau lemah iman, perpaduan akan berantakan. Jika pun berlaku, perpaduan itu hanya bersifat tempelan. Perpaduan yang sedemikian dinyatakan ALLAH menerusi firman-Nya: "Kamu menyangka mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah-belah". (Surah al-Hasyr: 59:14)

Tegasnya, perpaduan mestilah bermula dari hati yang berasaskan iman sejati. Tanpa iman, tidak mustahil bangsa atau agama menjadi topeng bagi melindungi kepentingan peribadi. Dengan iman, manusia akan berasa takut kepada ALLAH, gerun akan neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Inilah yang akan menghalang manusia daripada melakukan kemungkaran dan kejahatan. Iman akan memberikan kekuatan untuk melawan hawa nafsu. Dengan ini sifat-sifat buruk (mazmumah) yang berpunca daripada kerakusan nafsu yang menjadi penghalang perpaduan dapat diatasi.
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

No comments:

 
Copyright © . All Right Reserved by Adie Shahrul