Assalamualaikum..
Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar
Subuhnya…
di mana aku berada?
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berfoya-foya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada halatuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin di hujung waktu
siapa aku di depan Tuhan ku.
Zohornya..
aku lebih memikirkan
kelaparan, kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan
jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku mengadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhan ku.
Asarnya…
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak di hujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat
yang derhaka
siapa aku di depan Tuhan ku
Maghribnya …
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar di sebalik
tabirnya mencari sisa-sisa
keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat ruginya
bertingkat- tingkat
siapa aku di depan Tuhan ku.
Isyaknya…
kerana masanya yang
panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan mengangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut
biru bercumbu-cumbu dengan waktuku
siapa aku di depan Tuhan ku.
kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan
sujud ku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjid
menjadi sepi kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing pada mentari
dan juga bintang-bintang.
No comments:
Post a Comment