Kembara Hati Seorang Hamba: .::PERASAAN::.

Thursday, June 16, 2011

.::PERASAAN::.

Views
Pengenalan
Perasaan adalah sesuatu yang unik. Ia boleh menyembuh dan memudaratkan badan sendiri. Jika kita memperlihatkan perasaan secara membina, kita kelihatan semakin matang dan dapat mempelajari banyak perkara. Tetapi jika kita silap mengurus perasaan, ia boleh memudaratkan kesihatan. Perasaan yang sihat boleh menjadikan badan kita sihat.

Bagaimana cara untuk mengekalkan perasaan yang sihat? Tips-tips berikut mungkin boleh membantu anda untuk mengurus perasaan.

1) Mendapatkan Sokongan Sosial
Siapakah yang akan kita hubungi dan luahkan perasaan apabila menerima sesuatu berita yang menyedihkan? contoh: kematian keluarga dan kehilangan kerja. Selalunya kita akan bercerita dengan individu yang kita percayai seperti suami/isteri. Apabila bercerita, kita akan berasa kurang menanggung beban perasaan dan adakalanya kita memperolehi idea penyelesaian masalah yang tidak terlintas dalam fikiran kita sebelum ini.

Tetapi, adakalanya kita sering menyalahgunakan sokongan sosial ini. Kita berharap orang lain akan menyelesaikan masalah kita. Kadangkala kita cenderung menggunakan masalah dan perasaan yang sedang kita alami untuk menarik perhatian orang lain. Kita bermasam muka, memaki, menangis tidak kira tempat dan masa. Perlakuan kita ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebaliknya semakin membebankan masalah sedia ada kerana orang lain takut untuk menampilkan diri. Sebaliknya jika kita bersikap lebih terbuka dan berusaha mencari jalan penyelesaian, maka orang lain akan senang hati membantu kita.

2) Sentuhan.
Sentuhan sangat penting dalam memelihara kesihatan emosi. Sentuhan membolehkan kita memaksimakan potensi tubuh sepenuhnya. Sentuhan juga mendatangkan ketenangan untuk otak kita. Pelukan merupakan sentuhan fizikal yang terbaik bagi memperolehi kesihatan dan keselesaan emosi. Kajian psikologi mendapati kita memerlukan sekurang-kurangnya 6 pelukan/sentuhan sehari untuk mengekalkan emosi yang sihat. Justeru, jangan lupa untuk memeluk suami/isteri dan anak anda setiap hari untuk mengekalkan kesihatan emosi anda!!.
(ps- jangan peluk orang sebarangan)

3) Jenaka, Ketawa Dan Sentiasa Senyum
Kita perlu mengekalkan sikap fleksibel pada sesetengah keadaan bagi membantu kita menerima sebarang perubahan dan memastikan emosi kita lebih bersedia. Cara terbaik bagi menghilangkan kekakuan mental adalah dengan cara senyum, jenaka dan ketawa. Kebolehan berhumor menjadikan kita sentiasa ceria dan membebaskan diri daripada emosi yang negatif. Ketawa juga mempunyai banyak kelebihan dari segi psikologi. Ketawa boleh diterima pakai sebagai satu cara senaman ringan yang paling mudah!. Apabila kita ketawa, tengkuk, bahu dan otot-otot berkaitan akan turut bersenam. Lebih daripada itu, semasa ketawa, tubuh kita akan menyingkirkan dioksida yang tidak baik dan menghasilkan sel-sel yang boleh melawan penyakit. (Norman Cousins, Anatomy Of An Ilness) Walau bagaimanapun, ketawa biarlah berpada dan tidak berlebihan kerana ketawa yang berlebihan boleh mematikan jiwa.

Kita sering mendengar bahawa senyum itu seindah suria. Ia memang benar!!!. Apabila kita tersenyum, secara spontan kita akan rasa gembira. Eksperimen ke atas sekumpulan individu yang tertekan mendapati mereka boleh beransur menjadi gembira apabila diminta senyum walaupun tanpa sebarang perasaan dengan menegangkan otot di sekitar mulut dan mengarahkan hujung mulut ke atas. Hasilnya mereka boleh menjadi gembira walaupun sedikit!!. Jadi sentiasalah tersenyum terutamanya apabila kita tiba-tiba berasa muram tanpa sebab. Pasti anda boleh berasa gembira semula.

4) Memandang Warna Yang Menenangkan
Kajian membuktikan bahawa warna memberi kesan kepada perasaan kita. Warna merah terang, oren dan kuning memberikan kita tenaga. Kombinasi warna merah dan kuning menyebabkan darah kita berkitar dan menaikkan suhu badan. Biru dan hijau memberi kesan menyejukkan dan menenangkan. Anda pasti boleh mengenalpasti warna dengan cara anda sendiri untuk mengubah perasaan yang anda mahukan.

5) Hindari bunyi bising
Bunyi boleh memberi kesan kepada perasaan kita. Kita dilahirkan dengan perasaan yang tidak selesa kepada bunyi bising. Kebisingan juga boleh memberi tekanan dalam diri. Ia juga boleh menaikkan tekanan darah, mempercepatkan degupan jantung dan memberi kesan psikologi yang lain. Walau bagaimanapun bukan semua bunyi memberi kesan buruk. Muzik contohnya boleh memberi kesan yang baik kepada perasaan dan kesihatan diri kita.

Menurut kajian dari. Avram Goldstein, muzik boleh menyebabkan otak mengeluarkan sejenis bahan penenang yang dinamakan endorfin. Muzik juga boleh menimbulkan pelbagai variasi perasaan. Justeru, jika anda rasa tertekan, dengarlah lagu-lagu kegemaran anda. Semoga ia dapat membantu

6) Membaca Al-Quran, zikir dan selawat.
Bagi yang beragama Islam, bacalah ayat-ayat suci Al-Quran. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab. Untuk mengelakkan tekanan perasaan selalulah berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan Allah SWT tetap ada kerana selepas kesempitan pasti ada kelegaan dan selepas kepayahan pasti ada kesenangan.

Akhir sekali sebagai renungan, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) : bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al-Insyiraah:5-6)
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

No comments:

 
Copyright © . All Right Reserved by Adie Shahrul