Kembara Hati Seorang Hamba: Nafsu Musuh yang Dicintai..

Tuesday, January 25, 2011

Nafsu Musuh yang Dicintai..

Views
Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sangat kita sukai. Apabila sesuatu itu sangat kita cintai, kita akan menjadi buta lalu kejahatan dilihat baik. Malah, kita akan menjadi hamba kepada apa yang kita cintai.


Umat Islam sering memberi tumpuan kepada musuh zahirnya. Yahudi dan Nasrani misalnya, itulah dua musuh yang begitu dititikberatkan oleh umat Islam masa kini. Ya, memang kedua-dua musuh Islam ini sangat menyusahkan kita. Namun, ada musuh lain yang lebih dahsyat dan hebat angkaranya.
      Musuh tersebut adalah hawa nafsu. Apabila umat Islam boleh ditewaskan oleh hawa nafsu, mereka akan mudah melutut kepada musuh-musuh zahirnya. Atau dalam kata lain, apabila kita gagal menentang hawa nafsu, maka kita mudah dikalahkan oleh Yahudi dan Nasrani.
      Sayangnya, agenda melawan nafsu ini jarang diuar-uarkan.  Agenda ini tenggelam di tengah-tengah tempik sorak, demonstrasi dan kemarahan kita kepada Yahudi dan Nasrani.
     Sebenarnya, ada dua factor yang menyebabkan hal ini berlaku. Pertama, kebanyakan umat Islam jahil kerana tidak mendapat suluhan ilmu. Kejahatan hawa nafsu langsung tidak diketahui apatah lagi untuk diperangi.
Kedua, bersikap eskapisme, yakni cuba lari daripada menghadapi kenyataan. Mereka sedar bahawa menentang hawa nafsu bererti menentang diri sendiri, maka tentunya ia sesuatu yang sangat memedihkan. Jadi lebih mudah menyalahkan orang lain daripada terpaksa “berperang” dengan diri sendiri. Contohnya, lebih mudah mengajak orang berdemonstrasi membakar bendera Israel dan Amerika berbanding mengejutkan mereka untuk membuang selimut pada waktu dingin pagi untuk solat Subuh! 

PERINGKAT-PERINGKAT NAFSU

     Ulama tasawuf membahagikan nafsu kepada beberapa peringkat. Ada yang membahagikan kepada tujuh bahagian, empat bahagian dan tiga bahagian. Namun di sini hnya dapat dijelaskan empat bahagian sahaja. Antara  peringkat-peringkat nafsu dan cirri-cirinya ialah :


1.   Nafsu Ammarah
        Ammarah ertinya sangat mengajak kepada kejahatan . ini adalah tahap nafsu yang jahat dan hina. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“… sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Surah Yusuf 12: 53)
Orang bernafsu ammarah ialah orang yang berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran. Dia berasa seronok dengan maksiat. Bahkan dia mengajak orang lain dengan mempromosi kemungkaran dan kemaksiatan, malah berusaha melahirkan “kader” yang boleh meneruskan kemungkaran itu.
         Jika ada program kebaikan, dia akan menentangnya. Jika ada orang yang menegur mereka, orang itu akan dimusuhi dan ditentang. Orang yang bertahap nafsu ammarah ini juga sering menjadi “batu api” yang melaga-lagakan agar umat Islam tidak bersatu, nauzubillah. Jika tidak bertaubat, mereka akan merasai neraka di dunia (tidak tenang dan bahagia di dunia) dan akan dicampakkan ke neraka kelak.

2.    Nafsu Lawwamah
         Lawwamah bererti nafsu yang mencela. Orang yang mempunyai nafsu ini menyedari dia sering terlibat dengan dosa . ia menyesali akan dosa-dosa itu dan mencela dirinya sendiri. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
“ Aku bersumpah dengan nafsu yang amat mencela kejahatan.” (Surah al-Qiyamah 75: 2)
Namun ketika berbuat dosa, ia terleka dan terbuai dengan kenikmatan dosa itu tanpa memikirkan akibatnya. Hanya setelah selesai melakukannya barulah timbul penyesalan. Sungguhpun begitu, keadaan itu tidak lama, ia akan kembali berdosa senula apabila ada godaan dan hasutan.
         Apabila melakukan ketaatan, orang yang mempunyai nafsu lawwamah ini mudah dihinggapi rasa riak (menunjuk-nunjuk) dan ujub (bangga  diri). Dirasakan dirinya sudah baik di sisi ALLAH. Dia “perasan” dengan kebaikannya.
         Tetapi berbeza dengan orang yang bernafsu ammarah, mereka tidak berasa bangga dengan dosa dan tidak pula mengajak orang lain melakukan dosa bersamanya. Pada masa yang sama, mereka sangat suka kepada majlis-majlis ilmu dan keagamaan. Hatinya mudah cair dengan tazkirah dan tawsiyah. Cuma sangat rapuh apabila digoda maksiat.
         Jadi, kedudukan orang yang bernafsu lawwamah ini masih tidak selamat di dunia mahupun akhirat.


 3.    Nafsu Mulhamah
          Orang yang mempunyai nafsu mulhamah sudah mula mendapat ilham kebaikan dalam hatinya. Ada bisikan kebaikan dalam dirinya untuk berusaha lebih gigih ke arah menjadi insane yang lebih baik. Firman ALLAH S.W.T :
“Diilhamkan kepada diri akan kejahatan dan juga ketaqwaan.” (Surah al-Shams 91: 5)
Orang yang berada di tahap ini sudah mampu meninggalkan tahap nafsu lawwamah. Dia mula menghisab dan menyuluh diri lalu berusaha melakukan kebaikan. Dia tidak lagi mencari ruang dan peluang untuk melakukan dosa cuma ada masanya dia terlanjur juga melakukannya kerana kelalaiannya. Dia tidak sengaja.
           Sebagai penyelesaiannya, dia bukan sahaja mencari jalan untuk memperbaiki dirinya, malah dia juga berusaha menutup peluang untuk terjebak dalam perbuatan maksiat. Kawan, suasana dan keadaan yang boleh membawa kepada dosa dihindarinya. Walaubaimanapun, nafsunya belum stabil.

4.     Nafsu Mutma’innah
          Inilah nafsu yang diperoleh oleh seseorang hasil mujahadah (melawan nafsu) dan riyadah al-nafs (latihan diri) secara istiqamah (konsisten). Hatinya sudah tenang kerana nafsunya telah berjaya dijinakkan. Dia bukan sahaja seronok melakukan ketaatan tetapi indah ketika meninggalkan kejahatan. Apa sahaja ujian ALLAH, sama ada nikmat atau musibah mampu dihadapinya dengan sabar dan redha.
         ALLAH redha terhadap mereka sepertimana mereka redha terhadap ALLAH. Inilah tahap nafsu orang yang bertaqwa. Mereka menikmati al-jannah al-ajilah (syurga dunia yang berupa ketenangan dan kebahagiaan hidup) dan di akhirat mereka diseru untuk kembali kepada ALLAH menjadi penghuni syurga yang kekal abadi. Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud:
“Wahai nafsu yang  tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan gembira dan menggembirakan.” (Surah al-Fajr 89: 27)
         Inilah peringkat nafsu yang dimilki oleh para salafussoleh yang menyebabkan mereka bukan sahaja berjaya mengalahkan musuh zahir (munafik, Yahudi dan Nasrani)
malah musuh batin (syaitan dan hawa nafsu) juga dapat ditewaskan.






Umpama Kuda Liar

Apa itu nafsu? Nafsu itu tempat berkumpulnya kekuatan amarah dan syahwat (keinginan) dalam diri manusia. Di sinilah terkumpulnya sifat-sifat tercela, dan sentiasa mendorong diri manusia itu kea rah kejahatan.
     Daripada nafsu itulah timbulnya sifat mazmumah seperti hasad dengki, pemarah, takbur, gila pujian, cintakan dunia, penakut dan lain-lain lagi. Itulah akibat buruk apabila nafsu dibiarkan dan tidak dididik. Nafsu adalah generator kejahatan dalam tubuh badan manusia.
     Imam al-Ghazali mengumpamakan nafsu sebagai kuda yang liar. Jika tidak dididik kuda itu akan mengamuk dan menjatuhkan orang yang menunggangnya. Sebaliknya jika Berjaya dijinakkan, kuda itu dengan mudah dapat ditunggang mengikut mana jua hala tujuan. 


Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

No comments:

 
Copyright © . All Right Reserved by Adie Shahrul