Ketika suatu malam, diriku teringat akan kenangan-kenangan
terindah pada suatu ketika dulu. Antaranya ketika umurku 18 tahun, di mana aku
bersama 2 orang sahabatku (Syukri & Syair) berada di dalam bas untuk pulang
ke Beaufort. Dalam suasana yang agak dingin disebabkan aircond bas tersebut, bermula
lah pelbagai cerita antara kami bertiga yang mungkin boleh kita ambil sebagai
ikhtibar dalam kehidupan kita.
“Setiap kali pulang ke kampung, macam-macam cerita daripada
ibuku . Cerita yang telah diperdengarkan berulang-ulang kali. Cerita ibu
tentang sawah, lembu dan kehidupan zaman kanak-kanaknya di kampung. Dan saya
“terpaksa” menjadi pendengar cerita ulangan itu berulang-ulang.” kata syair.
“kau jadi seperti aku dulu. Cuma kau lebih bernasib baik”,
kata Syukri.
Aku menyampuk, “Jadi macam kau? Apa maksudmu Syuk?”
“Ya lah, Ibuku dipotong kedua-dua belah kakinya. Dari paha
ke bawah. Hari akhir-akhirnya sungguh sunyi. Setiap kali aku balik, aku menjadi
pendengar setia pada cerita-ceritanya.” jawab Syukri.
“Apa ceritanya?” tanya Syair.
Syukri menjawab, “Cerita zaman muda. Pahit manis hidupnya.
Kisah bersama ayah membesarkan kami adik-beradik.”
“Tentu menarik kan?” balas Syair.
Aku hanya diam dan memberi peluang kepada sahabatku berdua
tersebut cerita dan aku mendengar.
“Menarik memang menarik Cuma kalau sudah diulang
berkali-kali, teruji juga kita.” jawab Syukri.
“Lama ke?” tanya Syair.
“Satu sesi lebih kurang sejam” jawabnya.
Dalam keadaan diam dan mendengar, aku mengagumi Syukri. Dalam
fikiranku mungkin aku dan Syair tidak dapat menghadapinya walaupun setengah
jam sudah ku rasa lama.
Syukri menyambung bicaranya.
“Setiap kali aku balik kampung, emak mesti akan memanggil
aku duduk ke tepi katilnya. Dan sesi pun bermula….”
“Kata ahli psikologi, manusia perlu didengar katanya
sepertimana mereka perlukan makanan. Makanan memberikan tenaga. ‘Didengar’
menghidupkan rasa.”
“Allah pun ciptakan untuk kita dua telinga, satu mulut.
Maknanya kita mesti banyak mendengar berbanding berkata-kata. Dan hak mendengar
itu selayaknya kita peruntukkan kepada ibu bapa kita yang sudah tua.”
“Kau kata tadi nasib aku lebih baik. Kenapa?” tanya Syair kepada Syukri.
“Sebab… Aku Cuma menjadi pendengar cerita emak selama dua
bulan saja, kemudian dia meninggalkan kami buat selamanya. Hingga kini aku
merindui kisah-kisahnya. Terlalu rindu. kalau boleh, aku ingin mendengarnya
semula. Biarlah sejam, dua jam malah lebih lama daripada itu.” balas Syukri.
Syair terdiam serta tunduk, dan aku yang dari tadi diam
berasa agak tersentuh dengan cerita Syukri. Agaknya, sebab itu emak Syair mengulang ceritanya banyak kali, dia tahu anaknya pasti akan merinduinya lebih
daripada itu.
“Kau masih ada emak, Syair. Kau lebih bernasib baik.
Dengarlah cerita-ceritanya. Begitu juga kau, Adie. Semakin tua, suaranya
semakin kurang didengari. Mereka tiada cerita baru untuk diceritakan. Hanya
cerita lama. Seluruh tenaga, kelebihan dan semangatnya telah habis diperah
untuk kita.” sambung Syukri lagi.
Aku terus menyampuk, “Ya, yang diperdengarkan untuk kita
bukan hanya cerita tetapi cinta. Rasa cinta yang bukan sekadar imbauan tetapi
belaian untuk kita, anak-anaknya yang telah dewasa. Seolah-olah secara tersirat
ibu kita ingin menyampaikan bahawa cinta di dasar kisah lama itulah yang
menjulang cita-cita di kemuncak cerita-cerita baru kita.”
Tiba-tiba suasana menjadi sayu dengan kedengaran alunan lagu
dendangan Mamat Exist, Untukmu Ibu. Entah kenapa aku terasa amat sedih,
walaupun aku lebih bertuah daripada mereka berdua.
Bagi mengelakkan suasana bertambah sayu, aku pula berkongsi cerita
kepada mereka, cerita ni pengalaman diriku 3 bulan lalu.
Kisah bermula….
Keadaan badannya yang menampakkan tulang rangkanya kecil dan
matanya hampir tertutup. Jalannya seolah-olah merangkak. Ia sakit mungkin. Aku
memegangnya perlahan-lahan. Ia menjilat-jilat macam sangat kelaparan.
“kita ambil?” tanya adikku.
“Boleh. Kesian,” jawabku.
“Tapi nanti mama….” adikku rasa serba salah.
“tidak apa, nanti abang terangkan pada mama. Kita ambil.
Cepat!” Kataku.
Anak kucing yang bewarna keperang-perangan itu terus didakap
oleh adikku.
Tiba-tiba dari celah
meja di pasar itu muncul seekor kucing betina dan seekor anaknya. Daripada
rupanya aku tahu bahawa itulah ibu anak kucing yang sedang dalam dakapan
adikku.
“Abang, itu ibu anak kucing ni lah,” tunjuk adikku.
Aku mengangguk. Hati mula berbelah bagi, hendak aku ambil
atau tinggalkan semula bersama ibunya. Aku renung ibu kucing yang uzur itu.
Badannya menggelebar. Matanya hampir tertutup. Sakit juga mungkin. Begitu juga
anak kucing di sebelahnya… warnanya
keperangan, mungkin “saudara” kepada anak kucing dalam dakapan adikku.
“macamna bang?” tanya adikku meminta kepastian.
Aku terdiam. Berfikir, merenung dan menimbang-nimbang. Mama
di rumah tentu keberatan sebab bukan itu kali pertama aku bawa anak kucing
pulang. Di rumah pun sudah ada 4 ekor anak kucing apabila “Tompok” ibu kucing
kami beranak sebulan lalu. Bukan benci, tetapi mama merungut justeru sukarnya
menjaga makan minum dan “kencing berak” kucing-kucing sedia ada. Itu tidak
termasuk kucing “PATI” yang selalu bertandang di hadapan rumah kami. Namun,
tubuh kurus dan mata daif anak kucing itu seolah-olah merayu kepadaku.
“Ambil dik,” kataku pendek. Adikku patuh dan mendukung anak
kucing itu bawa pulang.
Adikku bertanya, “kenapa kita tidak pilih anak kucing yang
satu lagi tu?”
“Kita terpaksa pilih. Biarlah seekor tu ibunya yang jaga. Yang ini kita
jaga”. balasku
Adikku bertanya lagi, “kenapa pula kita pilih yang ini?”
Banyak pula soalan
dia. Tapi betul juga. Kenapa yang seekor ni menjadi pilihan dan bukan seekor
lagi. Sebenarnya aku sudah ada jawapannya. Telah aku fikirkan sebelum membuat
keputusan tadi.
“Yang ini lebih kurus. Lebih sakit dan lebih lemah.
Yang seekor tadi tu lebih sihat. Biar
ibunya jaga. kita boleh jaga ia lebih baik daripada ibunya. Rumah kita banyak
makanan. Di rumah pun banyak tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Di
pasar ni, sudah banyak pula kucing-kucing lain. Nanti mati pula kucing yang
lemah ini.” terangku kepada adik.
Sesampai kami di rumah, adik mula sibuk. Disiapkan susu panas,
disediakan makanan berzat khusus anak kucing. Mama pada awlnya masam kini turut
sibuk menyediakan tempat ‘si Comel’ ( nama baru yang aku berikan) tidur.
Adik-beradikku yang lain sibuk mengalihkan sangkar kucing lebih ke dalam rumah
untuk mengelakkan tiupan angin dan bahang panas
cahaya matahari. Pendek kata, semua ahli keluarga kami sibuk dalam
“operasi” menyelamatkan si Comel.
Si Tompok dan anak-anaknya hilang keistimewaan. Tompok
dipindahkan ke sangkar kelas dua bersama anak-anaknya. Keutamaan diberikan
kepada si Comel kerana keadaan kesihatannya yang daif dan lemah. Setelah
semuanya berusaha, kami yakin si Comel akan Berjaya diselamatkan. Nasibnya
tentu lebih baik berbanding “saudara” kandungnya yang dijaga oleh ibunya yang
juga daif.
Sehari, dua hari, tiga hari… si Comel tetap begitu-begitu
juga. Matanya masih tertutup. Badannya, masih tidak ada perubahan. Pada hari
keempat, setelah aku pulang dari kerja restoran, tiba-tiba kelihatan adikku
menangis, dia berkata si Comel telah mati. Dan kulihat sangkar si Comel kembali
dihuni oleh si Tompok dan anak-anaknya. Abangku pula selamat mengubur si Comel.
“Rasa-rasa bang, saudara si Comel mati kah juga?” tanya
adikku setelah 3 hari berlalu sejak kematian si Comel.
Jawabku, “di rumah yang begini mewah dengan makanan kucing
pun si Comel boleh mati apalagi saudaranya yang tinggal di pasar.. abang rasa
mati juga.”
“Betul kah bang?” tanyanya lagi.
Aku terusik dengan pertanyaan adikku itu. Ingin juga aku
pastikan.
Sebulan berlalu, suatu hari aku pergi ke pasar itu bersama
adikku. Aku dan adikku berjalan di bahagian penjualan sayur. Tiba-tiba….
“Bang, bang!” panggil adikku.
“Kenapa?” sentakku terkejut sedikit
“Tengok tu…” katanya sambil menunjuk ke suatu arah.
Kelihatan anak kucing “saudara” si Comel sedang berlari-lari
riang bersama ibunya. Badannya telah segar, sihat dan gemuk. Begitu juga si
ibu, kelihatan lebih ceria dan aktif.
“Betullah bang… ini saudara si Comel, dia tidak mati pun.”
Kata adikku sambil mendukung anak kucing tersebut.
Aku diam. Rasa malu, sesal dan bersalah. Ternyata
keputusanku “memisahkan” Si Comel dengan saudara dan ibunya adalah salah.
…………………………………………………………………………..
Hanya itu kuceritakan kepada sahabatku.
Tiba-tiba…
Syukri bertanya, “ kenapa kau rasa malu dan bersalah?”
“Ya lah, aku bersalah memutuskan kasih si Comel dengan
ibunya. Aku fikir si Comel boleh sihat kembali hanya dengan makanan dan
perlindungan. Tapi aku lupa, binatang pun perlukan kasih sayang daripada
ibunya.” jawabku
“Ingat tu, kasih ibu tidak boleh ditukar
ganti….” Tiba-tiba Syair menyampuk.
Betul apa yang dikatakan oleh Syair tu.. kata-kata tu masih
tersemat di dalam hati ku..
Perbualan kami terhenti di situ…
………………………………………………………………
Malam tu, entah kenapa lelapku terganggu. Wajah mama
menerjah ke kotak ingatanku. Putik-putik kasihnya bagaikan bintang pada malam
yang kelam. Satu demi satu pesannya mengukir senyuman. Lalu tiba-tiba tanganku
ringan menulis sebuah puisi.
I love you ibu
Kekadang terasa ditusuk rasa nan gelisah
Pada wajahmu yang menanggung resah
Laut keringatmu yang membanting tenaga
Dan getir mujahadahmu di kelelahan jiwa
Dari buaianku hinggalah dewasa
Kini…
aku terpaku dalam lelah safar kehidupan
Meneguk kesusahan..
ujian demi ujian
entah bilakan reda
Ibu…
Cuba kupadam hitam yang mencalar semalam
Tika kugamit cerah esok yang masih berbalam
Dan hari-hariku ini….
Yang terus-terusan mencengkam
Ibu.. apakah aku terlalu
Pada deritamu yang aku relakan
pada jerit batinmu yang aku pekakkan
Pada sengsara jiwamu yang tak pernah…
aku belaikan..
ibu….
hanya kata maaf dapat ku bicarakan..
maafkan anakmu ini ibuku…
I love you ibuku…
2 comments:
entri yang menarik.. mabruk!
alhamdulillah.. syukran ya ukhti..:)
Post a Comment