Kembara Hati Seorang Hamba: Pelbagai Cerita Dalam Bas

Tuesday, May 15, 2012

Pelbagai Cerita Dalam Bas

Views


Assalamualaikum WBT...
Alhamdulillah.. Apa khabar iman kita hari ini? Saya harap semua sihat ye? Setelah menerjah blog ni, saya rasa agak lama juga ye saya tak update new post.. maklumlah ada je mslh yg dihadapi walaupun post da siap edit.. saya minta maaf ye kepada para pembaca sekalian.. erm... kali ni saya nak kongsi sedikit tentang cerita-cerita yang telah mengajar saya 1 rasa cinta. Cinta kepada Mama..




Ketika suatu malam, diriku teringat akan kenangan-kenangan terindah pada suatu ketika dulu. Antaranya ketika umurku 18 tahun, di mana aku bersama 2 orang sahabatku (Syukri & Syair) berada di dalam bas untuk pulang ke Beaufort. Dalam suasana yang agak dingin disebabkan aircond bas tersebut, bermula lah pelbagai cerita antara kami bertiga yang mungkin boleh kita ambil sebagai ikhtibar dalam kehidupan kita.

“Setiap kali pulang ke kampung, macam-macam cerita daripada ibuku . Cerita yang telah diperdengarkan berulang-ulang kali. Cerita ibu tentang sawah, lembu dan kehidupan zaman kanak-kanaknya di kampung. Dan saya “terpaksa” menjadi pendengar cerita ulangan itu berulang-ulang.” kata syair.

“kau jadi seperti aku dulu. Cuma kau lebih bernasib baik”, kata Syukri.

Aku menyampuk, “Jadi macam kau? Apa maksudmu Syuk?”

“Ya lah, Ibuku dipotong kedua-dua belah kakinya. Dari paha ke bawah. Hari akhir-akhirnya sungguh sunyi. Setiap kali aku balik, aku menjadi pendengar setia pada cerita-ceritanya.” jawab Syukri.

“Apa ceritanya?” tanya Syair.

Syukri menjawab, “Cerita zaman muda. Pahit manis hidupnya. Kisah bersama ayah membesarkan kami adik-beradik.”

“Tentu menarik kan?” balas Syair.

Aku hanya diam dan memberi peluang kepada sahabatku berdua tersebut cerita dan aku mendengar.

“Menarik memang menarik Cuma kalau sudah diulang berkali-kali, teruji juga kita.” jawab Syukri.
“Lama ke?” tanya Syair.
“Satu sesi lebih kurang sejam” jawabnya.
Dalam keadaan diam dan mendengar, aku mengagumi Syukri. Dalam fikiranku mungkin aku dan Syair tidak dapat menghadapinya walaupun setengah jam sudah ku rasa lama.
Syukri menyambung bicaranya.
“Setiap kali aku balik kampung, emak mesti akan memanggil aku duduk ke tepi katilnya. Dan sesi pun bermula….”
“Kata ahli psikologi, manusia perlu didengar katanya sepertimana mereka perlukan makanan. Makanan memberikan tenaga. ‘Didengar’ menghidupkan rasa.”
“Allah pun ciptakan untuk kita dua telinga, satu mulut. Maknanya kita mesti banyak mendengar berbanding berkata-kata. Dan hak mendengar itu selayaknya kita peruntukkan kepada ibu bapa kita yang sudah tua.”

“Kau kata tadi nasib aku lebih baik. Kenapa?” tanya Syair kepada Syukri.

“Sebab… Aku Cuma menjadi pendengar cerita emak selama dua bulan saja, kemudian dia meninggalkan kami buat selamanya. Hingga kini aku merindui kisah-kisahnya. Terlalu rindu. kalau boleh, aku ingin mendengarnya semula. Biarlah sejam, dua jam malah lebih lama daripada itu.” balas Syukri.

Syair terdiam serta tunduk, dan aku yang dari tadi diam berasa agak tersentuh dengan cerita Syukri. Agaknya, sebab itu emak Syair mengulang ceritanya banyak kali, dia tahu anaknya pasti akan merinduinya lebih daripada itu.
“Kau masih ada emak, Syair. Kau lebih bernasib baik. Dengarlah cerita-ceritanya. Begitu juga kau, Adie. Semakin tua, suaranya semakin kurang didengari. Mereka tiada cerita baru untuk diceritakan. Hanya cerita lama. Seluruh tenaga, kelebihan dan semangatnya telah habis diperah untuk kita.” sambung Syukri lagi.
Aku terus menyampuk, “Ya, yang diperdengarkan untuk kita bukan hanya cerita tetapi cinta. Rasa cinta yang bukan sekadar imbauan tetapi belaian untuk kita, anak-anaknya yang telah dewasa. Seolah-olah secara tersirat ibu kita ingin menyampaikan bahawa cinta di dasar kisah lama itulah yang menjulang cita-cita di kemuncak cerita-cerita baru kita.”
Tiba-tiba suasana menjadi sayu dengan kedengaran alunan lagu dendangan Mamat Exist, Untukmu Ibu. Entah kenapa aku terasa amat sedih, walaupun aku lebih bertuah daripada mereka berdua.

Bagi mengelakkan suasana bertambah sayu, aku pula berkongsi cerita kepada mereka, cerita ni pengalaman diriku 3 bulan lalu.
Kisah bermula….
Keadaan badannya yang menampakkan tulang rangkanya kecil dan matanya hampir tertutup. Jalannya seolah-olah merangkak. Ia sakit mungkin. Aku memegangnya perlahan-lahan. Ia menjilat-jilat macam sangat kelaparan.
“kita ambil?” tanya adikku.
“Boleh. Kesian,” jawabku.
“Tapi nanti mama….” adikku rasa serba salah.
“tidak apa, nanti abang terangkan pada mama. Kita ambil. Cepat!” Kataku.
Anak kucing yang bewarna keperang-perangan itu terus didakap oleh adikku.
 Tiba-tiba dari celah meja di pasar itu muncul seekor kucing betina dan seekor anaknya. Daripada rupanya aku tahu bahawa itulah ibu anak kucing yang sedang dalam dakapan adikku.
“Abang, itu ibu anak kucing ni lah,” tunjuk adikku.
Aku mengangguk. Hati mula berbelah bagi, hendak aku ambil atau tinggalkan semula bersama ibunya. Aku renung ibu kucing yang uzur itu. Badannya menggelebar. Matanya hampir tertutup. Sakit juga mungkin. Begitu juga anak kucing di sebelahnya…  warnanya keperangan, mungkin “saudara” kepada anak kucing dalam dakapan adikku.
“macamna bang?” tanya adikku meminta kepastian.
Aku terdiam. Berfikir, merenung dan menimbang-nimbang. Mama di rumah tentu keberatan sebab bukan itu kali pertama aku bawa anak kucing pulang. Di rumah pun sudah ada 4 ekor anak kucing apabila “Tompok” ibu kucing kami beranak sebulan lalu. Bukan benci, tetapi mama merungut justeru sukarnya menjaga makan minum dan “kencing berak” kucing-kucing sedia ada. Itu tidak termasuk kucing “PATI” yang selalu bertandang di hadapan rumah kami. Namun, tubuh kurus dan mata daif anak kucing itu seolah-olah merayu kepadaku.
“Ambil dik,” kataku pendek. Adikku patuh dan mendukung anak kucing itu bawa pulang.
Adikku bertanya, “kenapa kita tidak pilih anak kucing yang satu lagi tu?”
“Kita terpaksa pilih. Biarlah  seekor tu ibunya yang jaga. Yang ini kita jaga”. balasku
Adikku bertanya lagi, “kenapa pula kita pilih yang ini?”
 Banyak pula soalan dia. Tapi betul juga. Kenapa yang seekor ni menjadi pilihan dan bukan seekor lagi. Sebenarnya aku sudah ada jawapannya. Telah aku fikirkan sebelum membuat keputusan tadi.
“Yang ini lebih kurus. Lebih sakit dan lebih lemah. Yang  seekor tadi tu lebih sihat. Biar ibunya jaga. kita boleh jaga ia lebih baik daripada ibunya. Rumah kita banyak makanan. Di rumah pun banyak tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Di pasar ni, sudah banyak pula kucing-kucing lain. Nanti mati pula kucing yang lemah ini.” terangku kepada adik.

Sesampai kami di rumah, adik mula sibuk. Disiapkan susu panas, disediakan makanan berzat khusus anak kucing. Mama pada awlnya masam kini turut sibuk menyediakan tempat ‘si Comel’ ( nama baru yang aku berikan) tidur. Adik-beradikku yang lain sibuk mengalihkan sangkar kucing lebih ke dalam rumah untuk mengelakkan tiupan angin dan bahang panas  cahaya matahari. Pendek kata, semua ahli keluarga kami sibuk dalam “operasi”  menyelamatkan si Comel.
Si Tompok dan anak-anaknya hilang keistimewaan. Tompok dipindahkan ke sangkar kelas dua bersama anak-anaknya. Keutamaan diberikan kepada si Comel kerana keadaan kesihatannya yang daif dan lemah. Setelah semuanya berusaha, kami yakin si Comel akan Berjaya diselamatkan. Nasibnya tentu lebih baik berbanding “saudara” kandungnya yang dijaga oleh ibunya yang juga daif.
Sehari, dua hari, tiga hari… si Comel tetap begitu-begitu juga. Matanya masih tertutup. Badannya, masih tidak ada perubahan. Pada hari keempat, setelah aku pulang dari kerja restoran, tiba-tiba kelihatan adikku menangis, dia berkata si Comel telah mati. Dan kulihat sangkar si Comel kembali dihuni oleh si Tompok dan anak-anaknya. Abangku pula selamat mengubur si Comel.
“Rasa-rasa bang, saudara si Comel mati kah juga?” tanya adikku setelah 3 hari berlalu sejak kematian si Comel.
Jawabku, “di rumah yang begini mewah dengan makanan kucing pun si Comel boleh mati apalagi saudaranya yang tinggal di pasar.. abang rasa mati juga.”
“Betul kah bang?” tanyanya lagi.
Aku terusik dengan pertanyaan adikku itu. Ingin juga aku pastikan.
Sebulan berlalu, suatu hari aku pergi ke pasar itu bersama adikku. Aku dan adikku berjalan di bahagian penjualan sayur. Tiba-tiba….
“Bang, bang!” panggil adikku.
“Kenapa?” sentakku terkejut sedikit
“Tengok tu…” katanya sambil menunjuk ke suatu arah.
Kelihatan anak kucing “saudara” si Comel sedang berlari-lari riang bersama ibunya. Badannya telah segar, sihat dan gemuk. Begitu juga si ibu, kelihatan lebih ceria dan aktif.
“Betullah bang… ini saudara si Comel, dia tidak mati pun.” Kata adikku sambil mendukung anak kucing tersebut.
Aku diam. Rasa malu, sesal dan bersalah. Ternyata keputusanku “memisahkan” Si Comel dengan saudara dan ibunya adalah salah.
…………………………………………………………………………..
Hanya itu kuceritakan kepada sahabatku.
Tiba-tiba…
Syukri bertanya, “ kenapa kau rasa malu dan bersalah?”
“Ya lah, aku bersalah memutuskan kasih si Comel dengan ibunya. Aku fikir si Comel boleh sihat kembali hanya dengan makanan dan perlindungan. Tapi aku lupa, binatang pun perlukan kasih sayang daripada ibunya.” jawabku
  “Ingat tu, kasih ibu tidak boleh ditukar ganti….” Tiba-tiba Syair menyampuk.
Betul apa yang dikatakan oleh Syair tu.. kata-kata tu masih tersemat di dalam hati ku..
Perbualan kami terhenti di situ…
………………………………………………………………
Malam tu, entah kenapa lelapku terganggu. Wajah mama menerjah ke kotak ingatanku. Putik-putik kasihnya bagaikan bintang pada malam yang kelam. Satu demi satu pesannya mengukir senyuman. Lalu tiba-tiba tanganku ringan menulis sebuah puisi.


I love you ibu

Kekadang terasa ditusuk rasa nan gelisah
Pada wajahmu yang menanggung resah
Laut keringatmu yang membanting tenaga
Dan getir mujahadahmu di kelelahan jiwa
Dari buaianku hinggalah dewasa

Kini…
aku terpaku dalam lelah safar kehidupan
Meneguk kesusahan..
ujian demi ujian
entah bilakan reda

Ibu…
Cuba kupadam hitam yang mencalar semalam
Tika kugamit cerah esok yang masih berbalam
Dan hari-hariku ini….
Yang terus-terusan mencengkam
Ibu.. apakah aku terlalu
Pada deritamu yang aku relakan
pada jerit batinmu yang aku pekakkan
Pada sengsara jiwamu yang tak pernah…
aku belaikan..

ibu….
hanya kata maaf dapat ku bicarakan..
maafkan anakmu ini ibuku…
I love you ibuku…



 

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

2 comments:

Nurul Bahriah Haji Daut said...

entri yang menarik.. mabruk!

Adie shahrul said...

alhamdulillah.. syukran ya ukhti..:)

 
Copyright © . All Right Reserved by Adie Shahrul