Assalamualaikum w.b.t...
Kesempatan yang jarang-jarang saya temui itu tidak saya lepaskan, kuliah maghrib di masjid berhampiran kolej kediaman saya itu, saya ikut dengan teliti. Kaedah dan bahasa yang digunakan oleh penceramahnya sangat simple dan bersahaja ( orangnya sederhana, agak tua, berjubah dan berserban putih, tubuhnya pendek tapi menarik).
Beliau menceritakan perihal komunikasi yang pernah terjadi antara seekor semut dengan Nabi Sulaiman a.s. Begini ceritanya…
Suatu hari Nabi Sulaiman a.s bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut jawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebiji gandum. Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan diletakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.
Cukup tempoh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.
Nabi sulaiman a.s bertanya, “mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji gandum dalam tempoh setahun?”
Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apakah akan terjadi kepadanya?
Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding “jaminan” manusia ketika berada di dalam botol. Bagi menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam tempoh masa satu tahun supaya jika berlaku sesuatu di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.
Sampai di sini, penceramah tua itu pun member “moral” pada ceritanya. Begini ucapannya:
“Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang boleh kita pelajari daripada semut. Jangan sesekali bergantung kepada sesame makhluk dalam soal rezeki. Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun… jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.”
Saya termenung panjang dalam fikiran yang dalam. Walaupun penceramah kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi isi ceramahnya sangat luar biasa. Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah.
Berapa kerat manusia yang benar-benar mengambil panduan dan ikhtibar daripada ajaran Islam ketika berhadapan dengan krisis dan kemelesetan ekonomi?
Ada seruan yang menganjurkan supaya hidup berjimat ketika ekonomi meleset padahal islam menganjurkan jimat cermat tanpa mengira keadaan. Orang yang membazir adalah saudara syaitan. Tidak kira sama ada semasa ekonomi meleset atau stabil, sama ada dalam keadaan harga barang naik atau tidak.
Ada pula pihak yang menguar-uarkan agar dilakukan perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang…. Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah?
Jarang-jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya, tafsiran yang merujuk kepada musabbabil asbab (faktor penyebab) bukan hanya asbab (sebab).
Hakikatnya, apa yang berlaku adalah dengan izin Allah jua. Tentu ada maksud Allah izinkan ini berlaku. Apakah pengajaran untuk si kaya, si miskin, peniaga, pengguna, rakyat dan penguasa di tengah-tengah kemelesetan ekonomi ini?
Bukankah kita telah diberitahu dalam Al-Quran dan hadis bahawa ujian daripada Allah adalah untuk mentarbiyyah diri kita atau meningkatkan keimanan kita? Dan ujian juga boleh meningkatkan tahap kebijaksanaan, kesabaran dan daya kreatif kita untuk menyelesaikan masalah.
Pokok pangkalnya, adakah musibah ini menggugat keyakinan kita kepada Allah yang bersifat al-Wahhab (Maha Pemberi), al-Ghani (Maha Kaya) dan al-Razzak (Maha Pemberi Rezeki) misalnya?
Bagaimana pula kita kembali kepada Allah (raja’na ilallah) dalam menghadapi ujian ini?
Adakah kita mula mendidik hati kita dengan sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah Islamiah?
Adakah kita mula bermuhasabah tentang system ekonomi semasa, adakah telah benar-benar disusun mengikut syariah?
Adakah orang kaya dan pengusaha mula tergerak untuk mengamalkan akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?
Adakah kita mula mendidik hati kita dengan sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah Islamiah?
Adakah kita mula bermuhasabah tentang system ekonomi semasa, adakah telah benar-benar disusun mengikut syariah?
Adakah orang kaya dan pengusaha mula tergerak untuk mengamalkan akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?
Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam, tetapi itulah yang mengganggu pemikiran dan rasa hati apabila mendengar cerita semut dan Nabi Sulaiman a.s. oleh penceramah tua itu. Pada saya, pasti ada mesej dan signal daripada Allah untuk semua golongan masyarakat di sebalik ujian ini. Mustahil allah lakukan semua ini dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil peringatan oleh para hamba-Nya.
Sayangnya, kuliah beliau yang begitu tajam dan menyentuh didengar secara hambar sekali. Sidang hadirin yang kebanyakan golongan veteran duduk jauh-jauh dan ramai juga yang mendengarkannya sambil lewa. Padahal, majlis ilmu yang sebegitu mulia (yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga di dunia) sangat diperlukan oleh semua- daripada pemerintah hingga kepada rakyat jelata.
Hakikatnya, tidak kira sama ada sultan, menteri, mufti, majikan, buruh dan sesiapa saja dapat belajar kejituan tawakal dan kegigihan ikhtiar daripada seekor semut baik dalam factor ekonomi mahupun apa saja jenis ujian yang dihadapi.
4 comments:
Assalamualaikum..
Allah..terkesan ana pabila membaca kisah semut & Nabi Sulailamn..
bnyk ibrahnya..
jazakallah atas perkongsian ini..
ilmu Allah ini luas..bgos anta berkongsi ilmu dgn pembaca..
moga teruskan perkongsian yg bermanfaat ini.
Waalaikumsalam...
Ana pun bila terdengar kisah tu, agak terkesan.. afwan ya ukhti.. insyaALLAH.. selagi ana mampu ana kongsikan..:)
sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu ada ibrah (pengajaran) bagi ulul albab (0rg2 yg berakal).... yusuf :111
Nice sharing ~
Follow sini key. .
Post a Comment